“Guruku, kehidupan pengalamanku”
Kehidupan saya menyeronokkan dan bahagia disamping insan-insan yang menerima dan menyayangi diri saya. Insan-insan yang sentiasa menerima, mendorong apa jua yang dilakukan oleh saya dan sentiasa memberi ruang untuk saya berfikir, memandu dan memilih yang terbaik untuk diri ini. Insan-insan itu adalah insan yang terbaik yang dianugerahkan olehNya untuk saya. Insan-insan itu adalah mama dan ayah saya.
Sejak saya kecil, saya diberi layanan yang secukupnya. Segala keperluan sangat mencukupi untuk saya sebagai anak. Walaupun ayah saya hanya seorang pemandu jentera, keperluan saya dan adik beradik tidak pernah terabai. Segalanya dipenuhi. Jika saya dan adik beradik memperoleh keputusan yang cemerlang, ayah akan hadiahi kami dengan hadiah yang menarik. Ini menaikkan lagi semangat saya untuk belajar lebih bersungguh-sungguh dan berjaya. Itulah ayah saya.
Semasa awal umur saya 6 tahun, saya memasuki alam tadika. Saya belajar di Tadika Islam Tunas Murni. Saya ingat lagi kenangan itu, pada setiap pagi ayah saya sendiri akan menghantar saya pergi ke tadika dengan menaiki motorsikal. Tadika saya agak jauh daripada rumah, demi mementingkan keselamatan saya terjamin, ayah sendiri menghantar saya agar memastikan saya selamat sampai di tadika. Jika tanda nama saya untuk pakaian seragam tadika saya tertinggal, ayah sendiri akan pulang ke rumah semula untuk mengambilnya dan datang semula ke tadika untuk menghantarnya. Pengorbanan ayah tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Tidak terbalas rasanya jasa ayah terhadap saya. Segala keperluan rumah dipenuhi sebaik mungkin walaupun pendapatan ayah tidak seberapa. Ayah gigih berusaha untuk keselesaan kehidupan kami semua.
Mama saya pula seorang suri rumah sepenuh masa. Kemahiran menjahit yang diperoleh digunakan sebaiknya. Mama mengambil upah menjahit bagi membantu ayah sedikit demi sedikit dari segi bentuk kewangan. Disebabkan kami tinggal di kawasan kampung dan perkhidmatan yang memuaskan dan juga harga yang berpatutan yang dikenakan oleh mama, mama saya mudah untuk mendapat pelanggan. Sehingga kami berpindah rumah ke daerah yang lain, pelanggan tetap mama masih menempah baju pada mama. Apa yang lihat pada diri mama, beliau merupakan seorang yang ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Disebabkan kesungguhan dan keikhlasannya mungkin yang menyebabkan rezeki mama melimpah ruah walaupun hanya sebagai tukang jahit. Sehingga saya berumur 22 tahun ini, mama masih menjahit dan pelanggannya bertambah dari hari ke hari. Tetapi disebabkan pertambahan umur dan kekangan kesihatan, mama menghadkan pengambilan tempahan baju. Tetapi masih berusaha kuat untuk menjahit. Saya sangat kagum dengan kesungguhannya.
Seawal saya darjah 1, saya memasuki kelas yang keempat yang dikenali sebagai kelas 1 Intan. Di situ saya bertemu kembali dengan teman-teman yang pernah satu tadika dengan saya. Mama pernah berkata menguruskan saya tidaklah susah. Ini kerana saya merupakan anak yang sulung seperti memahami keadaan mama. Lebih-lebih lagi, setelah setahun kelahiran saya, mama saya melahirkan pula anak kedua iaitu adik lelaki saya. Sebagai anak yang sulung saya dilatih untuk menjaga adik saya. Mama selalu mengimbau kembali kenangan saya bersama adik lelaki saya. Mama mengatakan bahawa saya sangat melindungi adik saya itu dan tidak sekali-kali membiarkan orang lain mencuitnya. Apabila mendengar cerita tersebut, saya tersenyum sendiri. Itulah mungkin yang dikatakan adik beradik, kasih sayang jelas ditunjukkan waktu kecil. Ketika waktu saya darjah 1, saya senang bergaul bersama teman dan tidak menyukarkan saya untuk mencari teman. Seawal saya darjah 1 lagi, mama dan ayah sudah menerapkan saya dengan nilai keagamaan. Saya ke sekolah dengan memakai tudung. Saya terfikir mungkin kerana itu juga mama dan ayah menghantar saya ke Tadika Islam Tunas Murni. Tadika itu menggalakkan pelajarnya memakai tudung. Uniform yang disediakan juga sangat bersesuaian seperti uniform pengawas di sekolah. Apabila mengimbau kembali dan berfikir terasa kami dididik untuk menjadi pemimpin kepada diri dan tidak lupa kepada hal agama. Tadika sebegitu sangat bersesuaian untuk kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunianya. Nilai-nilai yang diterapkan sangat bersesuaian. Saya rasa bertuah kerana mama dan ayah memilih yang terbaik untuk diri ini. Benarlah kata pepatah yang pernah saya dengar “kadang-kadang pilihan ibubapa itu yang terbaik, kerana mereka lebih memahami apa yang terbaik untuk diri kita”.
Setahun berlalu, saya memasuki pula alam darjah 2. Saya mendapat tempat pertama sewaktu darjah 1. Oleh disebabkan keputusan yang baik, saya dapat menempatkan diri di kelas yang pertama. Saya merasa sangat seronok kerana dapat menduduki kelas tersebut bergaul dengan teman-teman yang sememangnya saya kenal. Di kalangan mereka merupakan teman satu bas ke sekolah dan juga teman setadika. Jadi ia amat memudahkan saya untuk bergaul bersama mereka. Sewaktu saya darjah 2, pencapaian terbaik saya adalah mendapat anugerah pelajar terbaik dalam subjek Matematik. Dengan penganugerahan tersebut saya seperti mendapat satu keyakinan dan kepercayaan dari sekolah dan berusaha untuk terus belajar walaupun pada ketika itu saya hanya dapat menempatkan diri di tangga yang kelima terbaik dalam carta keseluruhan pelajar darjah 2. Sewaktu saya darjah 3, saya terasa seperti mendapat pengiktirafan sekali lagi dengan dapat menempatkan diri dalam ujian yang agak mencabar pada saya ketika itu iaitu ujian Penilaian Tahap Satu atau dikenali sebagai PTS. Hanya seramai 12 orang sahaja yang berjaya menempatkan diri di dalam ujian tersebut. Walaupun saya tidak berjaya melepasi ujian tersebut, tetapi saya merasa puas kerana dapat menempatkan diri dalam ujian tersebut.
Setiap kejayaan yang saya peroleh, saya akan memperoleh ganjaran yang lain daripada mama dan ayah saya. Jika ayah atau mama menghadiahi kami adik beradik sesuatu mereka akan memastikan bahawa hadiah itu benar-benar berkualiti. Saya masih mengingati hadiah pertama yang saya peroleh dari ayah sepanjang saya sekolah seawal saya darjah 2 adalah sebuah jam tangan. Saya mendapat jam tangan sepasang dengan adik saya dan jam tangan itu tahan untuk satu jangka masa yang lama. Walaupun hanya sebuah jam tangan tetapi ia merupakan jam tangan saya yang pertama sebagai seorang pelajar. Disitu bermulanya saya belajar untuk membaca jarum jam dan juga menghargai masa. Mama dan ayah mengajar kami menggunakan bahasa dan lenggokan lakuan yang tersendiri dan unik. Saya merasainya.
Selain itu, mama dan ayah saya juga mempunyai satu rutin bulanan. Jika ayah mendapat gaji bulanannya, kami akan dibawa untuk makan di luar. Walaupun kedengarannya biasa, tetapi pada saya ia seperti sesuatu yang luar biasa. Saya dapat rasa ayah dan mama menghargai kehadiran kami adik beradik di muka bumi ini. Kami tidak dipencilkan dan kami tidak dipinggirkan. Walaupun kami dalam golongan yang degil waktu kecil dan sering dihukum jika melakukan kesalahan tetapi kami faham penyampaian mama dan ayah kami supaya kami menjadi anak yang baik dan insan yang berguna.
Ketika akhir tahun 1998, kami sekeluarga berpindah ke daerah baru iaitu daerah Pasir Gudang. Daerah Pasir Gudang dan daerah yang kami tinggal dahulu agak jauh jaraknya tetapi dari segi persekitaran tiada bezanya kerana di daerah baru ini kami sekeluarga tinggal di kawasan perkampungan. Tetapi yang berbeza sedikit, kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan taman yang terletak di kawasan kampung. Walaubagaimanapun, persekitaran sekolah saya juga sedikit berbeza dengan persekitaran sekolah yang pernah saya bersekolah dahulu. Sekolah terdahulu terletak di kawasan yang boleh dikategorikan sebagai bandar kecil tetapi sekolah baru saya ini terletal di kawasan perkampungan. Apabila saya di sini, saya sendiri dapat membezakan suasana dan cara pergaulan mereka sedikit berbeza berbanding dengan rakan-rakan yang berada di sekolah saya yang terdahulu.
Pada hari pertama saya bersekolah di tempat yang baru, saya rasa berdebar-debar kerana di sini saya tiada satu kawan pun. Langkah pertama saya memasuki kelas yang ditempatkan, saya ditemani ayah di sebelah. Selepas mengetahui kelas, ayah pun meninggalkan saya di kelas tersebut dan berkata akan mengambil saya setelah saya habis pembelajaran nanti. Sedikit berbeza mungkin, jika waktu saya berda di darjah 1 hingga 3, saya bersekolah di waktu petang dan waktu pagi apabila memasuki tahap 2 iaitu darjah 4 hingga darjah 6. Sepermula saya di sekolah itu, sebaik sahaja saya melangkah, ada seorang lelaki mengambil kerusi untuk saya. Sungguh terharu rasanya, walaupun sebagai pelajar baru, mereka terima saya. Itulah dikatakan zaman-zaman kanak-kanak, mereka senang untuk berkawan dan ingin berkawan. Hari pertama saya itu juga ditegur oleh seorang rakan perempuan yang sangat comel. Di berjalan ke arah saya dan bertanyakan nama saya dan sebagainya. Nama dia adalah Nora. Permulaan hari yang baik kerana saya ditegur oleh seorang rakan. Ini menandakan diri saya diterima disitu. Hari-hari yang dilalui bagaikan cepat sahaja masa berlalu.
Penerimaan rakan-rakan baru dan guru yang baik di sekolah itu, menyebabkan hari-hari yang saya lalui tidak sukar di situ walaupun sebagai pelajar baru. Di sekolah tersebut juga saya sering menjulang nama dalam pelajaran. Sewaktu saya darjah 4, saya memperoleh tempat ketiga dan ini merupakan permulaan yang baik memandangkan saya berada di kelas yang pertama. Pada akhir tahun darjah 4 itu juga, saya ditawarkan untuk menyandang jawatan pengawas perpustakaan dan saya terima. Tahun pertama di sekolah tersebut, saya berasa seronok dan tidak sabar untuk menanti tahun yang seterusnya di situ. Saya mempunyai ramai rakan yang baik dan saya berasa selesa di situ. Sewaktu saya darjah 5, saya menyandang jawatan sebagai pengawas perpustakaan dan juga penolong ketua darjah. Saya sering menjadi bahu guru kelas saya untuk membantu dalam melaksanakan kerja-kerjanya. Saya juga sering menjadi bahan rujuk oleh rakan-rakan jika mempunyai masalah dalam matapelajaran. Lebih –lebih lagi dalam subjek Matematik. Rakan-rakan sering merujuk saya jika mereka tidak dapat mendapat jawapan soalan Matematik dan saya sememangnya gemarkan subjek Matematik. Dan hujung tahun apabila keputusan akhir keluar, saya mendapat tempat kedua di dalam kelas dan mendapat anugerah pelajar terbaik dalam subjek Matematik. Seronok tidak terkata saya boleh gambarkan kerana pertama kali dalam hidup saya sepanjang saya bersekolah, saya memperoleh dua anugerah. Alhamdulillah, itu semua adalah berkat daripada doa mama dan ayah saya yang sering mendoakan anak mereka cemerlang dalam apa jua yang dilakukan di dunia mahupun di akhirat. Sewaktu saya darjah 6, saya perlu menduduki peperiksaan paling besar yang saya perlu hadapi pada kadar umur 12 tahun iaitu peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah atau lebih dikenali sebagai UPSR. Sepanjang tahun itu, saya banyak menghabiskan masa dengan membuat latihan yang diberi. Bermula waktu pagi hingga ke malam, pelbagai kelas saya perlu hadiri. Walau dalam keadaan penat sekalipun, saya perlu terus gigih berusaha untuk mendapat keputusan yang terbaik untuk peperiksaan itu.
Mama dan ayah merupakan pendorong utama saya untuk berjaya di samping guru-guru dan rakan-rakan yang banyak juga membantu dalam pelajaran. Usaha gigih mama menghantar bekal kepada saya setiap hari selepas waktu sekolah supaya saya boleh makan sebelum masuk ke kelas untuk kelas tambahan, tidak akan saya persiakan. Mama akan menaiki motorsikal ke sekolah semata-mata untuk menghantar bekal kepada saya dan mengambil beg galas sekolah saya untuk memudahkan saya pulang nanti. Sehingga begitu sekali pengorbanan mama untuk memudahkan saya belajar supaya tidak merasa susahnya. Saya begitu bersyukur sekali kerana dianugerahkan mama sepertinya. Selesai musim peperiksaan, kemunculan keputusan ditunggu. Saya memperoleh kuputusan 4A 1B. Agak terkilan juga sebenarnya kerana tidak mendapat skor yang terbaik, tetapi saya yakin dan percaya apa jua keputusan yang kita dapat sebenarnya itulah hasil yang terbaik yang patut kita peroleh. Hasil daripada keputusan tersebut, saya berjaya menempatkan diri di salah sebuah sekolah bistari di Johor Bahru iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Memasuki alam persekolahan sekolah menengah adalah saat-saat yang paling ditunggu oleh kami yang baru sahaja mahu meningkat umur dewasa. Seawal saya memasuki alam sekolah menengah, kakak-kakak yang lebih awal memasuki sekolah itu menerima kami seadanya. Kami dilayan dengan baik seperti adik dan tidak kurang juga yang cuba berlagak lebih senior supaya mereka dihormati adik-adik. Gelagat mereka sedikit demi sedikit membentuk peribadi kami sebagai adik-adik dan junior. Pada pandangan mata kasar saya, kehidupan di sekolah menengah agak mencabar kerana saya dikelilingi oleh orang-orang yang bijak dan keupayaan saya di sana agak terbatas. Lebih-lebih lagi apabila berada di sekolah. Di asrama, saya rasa lebih dikenali keupayaan saya dan menjawat pelbagai jawatan berbanding di sekolah, saya kurang dikenali keupayaan saya di kalangan rakan-rakan. Hal ini kerana, dilihat pelajar-pelajar bandar ini tampil lebih berani dan pelbagai idea bernas boleh dikeluarkan oleh mereka. Sedikit demi sedikit, ia membentuk jiwa saya menjadi seperti mereka. Saya mengambil sesuatu yang positif di dalam diri mereka dan cuba saya serapkan di dalam diri saya agar saya boleh setanding diri mereka. Pelbagai benda baru saya dapat pelajari. Antaranya adalah dari segi fesyen, keyakinan diri, motivasi diri dan lebih berani juga dari segi percakapan dalam Bahasa Inggeris. Itulah antara perkara-perkara positif yang saya peroleh sepanjang bersekolah di situ. Dari segi rakan-rakan mereka sentiasa menyokong walau kami dari golongan apa sekalipun. Apa yang dapat saya lihat tentang rakan-rakan saya di sekolah ini adalah mereka berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, mesra, bebas menyuarakan pendapat dan sangat aktif dalam melakukan sesuatu. Saya terfikir mungkin inilah antara kriteria yang ada pada diri mereka yang membolehkan mereka berjaya.
Sewaktu di tingkatan 4, saya telah mengikuti satu program usahawan anjuran Johor Corporation. Mengikuti program ini saya rasakan adalah satu peluang besar kepada diri saya untuk menimba ilmu perniagaan kerana sememangnya saya sangat berminat dalam perniagaan. Dengan kehadiran rakan-rakan seperjuangan dan guru penasihat yang sangat berdedikasi, kami dapat membentuk syarikat kami sendiri iaitu syarikat Arena Shop yang menjual segala keperluan pelajar asrama. Kami bergiat aktif sepanjang tahun itu. Dengan hanya bermodalkan RM40 setiap orang dengan kerjasama ahli seramai 16 orang, kami bergiat aktif menjual pelbagai jenis barangan bagi mencapai target sasaran perniagaan kami. Alhamdulillah, semasa medaniaga besar-besaran yang melibatkan sekolah-sekolah daerah Johor, sekolah kami mendapat Anugerah Naib Johan Gerai Terbaik dan ini benar-benar membanggakan pihak sekolah. Saya dan rakan juga turut tersenyum puas dengan kejayaan tersebut. Bagi diri saya sendiri, ini merupakan antara kejayaan yang diusahakan sendiri oleh kami. Saya berasa bersyukur dan sangat seronok kerana hasil usaha kami terbalas.
Di sekolah juga, saya bergiat aktif dalam bidang sukan. Maksud aktif di sini, bukanlah saya bergiat aktif sebagai atlit, tetapi saya bergiat aktif dalam membantu melaksanakan sukan-sukan di sekolah mahupun sukan-sukan di peringkat daerah mahupun sukan berbentuk hoki dan juga bola sepak. Kumpulan ini dibentuk oleh sekolah kami yang dikenali sebagai Quater Master ataupun dikenali sebagai QM yang bermaksud Pengawas Sukan Sekolah. Apabila sukan sekolah menjelang tiba, kami ahli QM bergerak cergas membantu dari segi penyediaan peralatan dan kelancaran sukan tersebut. Kami juga sering keluar untuk membantu dalam sukan MSSD dan juga sukan luar seperti hoki dan bola sepak. Apabila terlibat dengan organisasi begini, pelbagai benda baru saya pelajari, pelbagai orang kenamaan saya jumpai dan kenali. Saya yakin dan percaya pengalaman ini sangat-sangat membantu saya meneruskan hidup di masa hadapan. Di sekolah juga saya bergiat aktif dalam pasukan kawad kaki sekolah. Saya menyertai Unit Beruniform Kadet Bomba Sekolah. Sejak dari saya tingkatan 1 sehingga saya tingkatan 5, saya bergiat aktif dalam pasukan kawad tersebut. Pada permulaannya, saya enggan mengikuti pasukan kawad ini, tetapi kerana tiada kecukupan dari segi ahli, saya bergiat juga akhirnya dan alhamdulillah saya dapat merasai dan melihat sendiri pengalaman saya itu dapat saya gunakan di masa hadapan. Pencapaian terbaik kami adalah kami menggodoli Johan dalam pertandingan kawad kaki peringkat daerah dan seterusnya negeri. Itu merupakan satu kejayaan terbesar sepanjang saya mengikuti pasukan kawad ini.
Kehidupan suka duka di asrama dan juga di sekolah tidak mungkin dapat saya ulangi bila saya meningkat dewasa nanti. Hanya kenangan dan pengalaman yang dapat saya bawa sepanjang hayat saya. Saya berjaya menamatkan zaman persekolahan saya dengan mendapat keputusan 3A 3B 4C bagi peperikasaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Pada pandangan saya, keputusan yang saya peroleh memang kurang memberangsangkan. Tetapi segala ilmu dan pengalaman yang saya peroleh dari sekolah tersebut tidak saya persiakan.
Setelah taman zaman sekolah saya, saya masih berfikir apakah matlamat saya yang ingin saya lakukan selepas ini. Sepanjang cuti panjang, saya diberi peluang oleh mama dan ayah untuk mengambil lesen kereta dan alhamdulillah saya melepasinya. Ayah menyuruh saya mengambil lesen pada peringkat awal supaya kehidupan saya masa hadapan lebih mudah. Sepanjang waktu cuti panjang itu juga, saya cuba untuk bekerja secara sambil-sambilan. Mama dan ayah tiada tentangan, asalkan saya pandai menjaga diri dan maruah keluarga. Saya pegang kepercayaan mama dan ayah itu dengan sebaiknya. Saya bekerja di sebuah kilang yang menghasilkan telefon bimbit luar negara. Di situ saya mendapat ramai kenalan dan alhamdulillah pelbagai benda baru yang saya pelajari. Hidup dengan bekerja sebagai pekerja kilang memang mencabar. Ini kerana saya terasa seperti berada di dunia yang penuh dugaan dan saya perlu sangat-sangat berhati-hati. Tiada bentengan selamat untuk saya selain doa. Itulah yang menjadi benteng paling selamat untuk saya. Alhamdulillah, setelah sebulan bekerja, saya pun berhenti. Hal ini kerana saya mendapat tawaran menyambung pelajaran saya di peringkat matrikulasi selama 2 tahun. Alhamdulillah syukur tidak terhingga saya rasa kerana saya tidak menjangka diberi peluang untuk sambung belajar sekali lagi. Mulai hari itu saya tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat yang terbaik diperingkat matrikulasi untuk mengganti kembali keputusan SPM saya yang kurang memberangsangkan itu.
Berbekalkan semangat yang tekad, saya seperti tidak sabar untuk belajar di matrikulasi. Pelbagai perancangan saya lakukan untuk memastikan saya belajar dengan teratur dan tenang di matrikulasi. Dan alhamdulillah saya memperoleh keputusan yang sangat baik saya rasa sepanjang saya belajar dengan mendapat PNGK 3.92. Apabila tamat sesi dua tahun bagi pelajar matrikulasi, saya perlu menyambung untuk sesi yang kedua iaitu menjadi pelajar satu tahun. Pada pengamatan saya, keputusan saya sudah cukup baik dan saya meramalkan saya boleh lakukan yang terbaik untuk sesi kali ini. Tetapi malang sedikit berbau, saya seperti sudah puas dengan keputusan yang diperoleh dan kurang bersungguh pada tahun itu dan menyebabkan PNGK saya jatuh terjunam kepada 3.28.
Dengan berbekalkan PNGK sebegitu, saya memohon untuk ditempatkan diri dalam pengajian kejururawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan untuk pilihan kedua dalam pengajian Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya memilih pengajian di UKM dan di dalam jurusan itu adalah atas dasar minat saya dalam bidang jururawat dan saya memilih bidang Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di UPSI kerana saya yakin pada ketika itu jika saya memohon untuk Pendidikan Biologi, saya mungkin tidak berkesempatan untuk melepasinya walaupun saya minat. Tetapi hasilnya adalah saya berjaya menempatkan diri di UPSI. Terkejut tidak terkata kerana jangkaan saya sama sekali meleset. Dan saya menerimanya dengan redha kerana saya percaya ada hikmah di sebalik semua kejadian ini.
Kemasukan saya di UPSI adalah satu kegembiraan untuk keluarga saya kerana UPSI merupakan satu universiti yang melahirkan para guru yang berjaya. Saya gembira jika keluarga saya gembira. Oleh itu, waktu dan saat yang berlalu di sini adalah demi mencapai hasrat keluarga saya dan juga mungkin saya untuk berjaya masa hadapan. Dorongan guru, rakan-rakan, berbekalkan PNGK yang boleh dikira baik di sini, menjadi penggerak kepada saya untuk meneruskan pengajian hingga ke akhirnya. Saya yakin dan percaya, walaupun minat itu kurang, tetapi jika kita berusaha sehabis baik, jalan itu pasti ada buat saya. Saya mengambil idola mama dan ayah saya yang membesarkan saya dengan penuh kesungguhan dan alhamdulillah impian mama dan ayah saya untuk melihat saya berada di menara gading kesampaian. Saya juga ingin begitu, menyimpan impian, pasti akan menjadi kenyataan.
Kehidupan sebagai seorang pelajar, saya pasti dan percaya penuh dengan dugaan dan cabaran. Lebih-lebih lagi belajar pada kadar umur yang masih dalam proses mematangkan diri. Oleh itu, saya sendiri perlu sedar bagaimana harus membawa diri ini supaya tidak tersasar ke perkara yang tidak sepatutnya. Jika diri dapat dikawal dan difahami sebaiknya, saya pasti semuanya akan berjalan dengan lancar.
p/s : Seronok do assignment ni pasal ia mengimbau balik memori lama. Sungguh! rindu :) Ia membuatkan saya menghargai kehidupan lama saya.
0 IdEa dikOmen ~:
Post a Comment